Hadith

“Sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat pada manusia (termasuk meratakan kasih sayang). Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya (kasih sayang kepada orang lain).” (Riwayat At Tabrani)

Thursday, February 16, 2012

Tribute to Kursus Pembangunan Modal Insan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani

Sudah lama tidak menukilkan sesuatu dalam blog ini
Walaupun hakikatnya sering kali niat untuk menulis itu timbul
Dan acap kali perancangan untuk menulis itu timbul
Namun apakan daya. Kita merancang, Dia pun merancang. Maka perancangan-Nya lah sebaik-baik rancangan

"Dan mereka (orang Yahudi) membuat tipu daya, tetapi Allah juga mengadakan tipu daya, dan Allah adalah sepandai-pandai (Pembalas) tipu daya"
(Surah Ali 'Imran : ayat 54)

Sedutan ayat Al-Quran tersebut juga memberitahu kita betapa rapi kita merancang, betapa hebat kita merangka program, semuanya tidak akan terjadi tanpa izin Allah, kerana Dia sudah pun punya perancnagan tersendiri.

Membaca penulisan seseorang adalah mudah berbanding menulis penulisan itu.
Menulis bukanlah suatu pekerjaan yang mudah.
Apatah lagi menulis sesuatu yang bisa mendatangkan manfaat kepada manusia.
Dan harus diingat, bukan semua penulisan bermanfaat itu mendatangkan minat kepada pembaca untuk membacanya.
Menulis adalah suatu perkara, menjadikan ia penulisan yang menarik minat pembaca pula adalah suatu hal yang lain.
Ia umpama dakwah. Menyampaikan dakwah adalah senang, tetapi yang susahnya menyampaikan dakwah tersebut dalam cara yang dapat diterima umat manusia. Di sinilah pentingnya seni hikmah. 
Penulisan bermanfaat yang menarik minat umat manusia memerlukan seorang penulis yang mempunyai bakat menulis dan ditambah pula dengan jiwa seorang seniman.
Jiwa seniman itu tidak wujud pada setiap jasad yang bergerak, walaupun terkadang jasad itu berlatar belakangkan serba-serbi aspek kesenian.
Seperti mana dialog antara seorang lelaki dengan Syamsul dalam novel Dalam Mihrab Cinta :

"Melahirkan orang pintar matematik itu mudah. Setiap sekolah mampu melahirkannya. Tetapi melahirkan seorang seniman besar yang karyanya menjadi ubat hati dan fikiran umat manusia, tidak boleh dicetak begitu saja melalui sekolah. Orang yang belajar di sekolah seni belum tentu mampu menjadi seniman besar."
 Habiburrahman El Shirazy. (2011). Dalam Mihrab Cinta. m/s 12

Terlalu banyak yang hendak diterjemahkan pada penulisan kali ini.
Tempoh percutian yang sudah hampir mencecah sebulan ini memberikan begitu banyak titik-titik bermakna dalam lembaran hidup.
Bak kata bidalan, Berpijak Di Bumi Yang Nyata, maka biarlah penulisan kali ini sekadar berkisar mengenai pengalaman mengikuti Kursus Pembangunan Modal Insan yang diadakan di Pusat Latihan MARDI, Serdang.


Tanggal 30 Januari 2012 menjadi saksi kaki ini menjejakkan kaki buat pertama kalinya di Pusat Latihan MARDI. Teringat saat mendapat perkhabaran mengenai tawaran pinjaman ini menerusi email. Pada awalnya tawaran ini ditolak mentah-mentah. Masakan tidak, dengan berbaki 1 semester sahaja, maka tiada sebab yang munasabah untuk menerima pinjaman. Namun Alhamdulillah, Dia mengilhamkan sesuatu. Ada hikmahnya Dia bagi pinjaman ini saat pengajian sudah memasuki semester akhir. Mungkin Dia hendak membantu hambaNya ini untuk membebaskan diri dari belenggu hutang PTPTN. Maka atas sebab itu, tawaran pinjaman itu diterima dengan niat untuk melangsaikan hutang terdahulu yang wujud pada zaman diploma. Walau bagaimana pun, langkah tersebut seakan-akan terhenti seketika tatkala mata ini terpaku pada isi kandungan surat tersebut :

......................................................................................................................................................................


Sukacita dimaklumkan bahawa saudara/saudari telah terpilih untuk menerima tajaan pinjaman pendidikan  ####### #### ######. Sehubungan dengan itu, saudara/saudari dikehendaki untuk menghadiri program di atas seperti butir-butir berikut ;

Tarikh              :           30 Januari – 03 Februari 2012 (Isnin – Jumaat)

Tempat            :           Pusat Perkhidmatan Teknikal
                                   Ibu Pejabat MARDI
                                   Persiaran MARDI-UPM
                                   43400 Serdang, Selangor Darul Ehsan

Pendaftaran     :           Dewan MOKARA (Masa : 10.00 pg – 12.30 ptg)

Kehadiran saudara/saudari adalah DIWAJIBKAN sebagai pra syarat untuk menerima tajaan ###. Komitmen dan kerjasama yang sepenuhnya dipohon daripada saudara/saudari memandangkan  kos menguruskan latihan ini adalah tinggi. Tawaran ### akan terbatal sekiranya saudara/saudari tidak menghadiri program seperti di atas.

....................................................................................................................................................................

 Maka setelah beberapa pertimbangan sewajarnya dilakukan, disebabkan kehadiran ke kursus ini diwajibkan sebagai pra syarat untuk menerima pinjaman tersebut, maka dengan paksa rela saya pun mengambil keputusan untuk menghadiri kursus ini.
Pertama kali mendaftar di Dewan MOKARA, maka perkara pertama yang saya lakukan adalah memeriksa nama para peserta yang terlibat. Bukan apa, sekadar mahu memastikan purata umur para peserta yang mengadiri kursus ini. Alhamdulillah, saya bukanlah yang paling berumur. Peserta yang paling berusia adaah setahun tua daripada saya. 
Mendaftar di bilik penginapan yang disediakan bagaikan suatu pengalaman baru. Ia sama sekali berbeza dengan tanggapan awal. Saya sangkakan ia seperti kursus-kursus biasa, iaitu menampilkan penginapan ala-ala hostel sekolah berasrama penuh. Ternyata anggapan itu meleset sama sekali. Duduk di bilik yang memuatkan dua katil untuk dua orang, dilengkapi dengan penghawa dingin, televisyen dan bilik air pula dilengkapi dengan sistem pemanas air. Lagaknya tidak tumpah seakan-akan penginapan hotel.
Setelah meneliti tentatif program, ternyata ianya bukanlah sekadar kursus untuk memperkenalkan pihak penaja, tapi ianya merupakan sebuah kursus motivasi. Mungkin pada siswa seperti saya yang cuma tinggal 1 semester lagi untuk menamatkan pengajian, dan semester itu pula penuh dengan latihan klinikal, ia mungkin tidak berapa realistik. Namun mungkin ilmu yang ditimba boleh digunakan untuk kegunaan hari-hari mendatang.
Konsultan yang menguruskan kumpulan saya sepanjang kursus ini adalah Focus & Training Consultancy. Secara jujurnya, saya sangat tidak berminat untuk mengikuti kursus-kursus sebegini pada usia sebegini. Tapi untuk menjadikan ia suatu yang menyeronokkan, maka saya perlu menjadi seorang yang happy go lucky. Dalam mengharungi kursus ini, ada suatu perkara yang membuatkan saya terpikat dan jatuh cinta dengan kursus ini. Ini berkenaan pendekatan yang digunakan oleh pihak konsultan untuk memotivasikan kami. Mereka menggunakan pendekatan agama dan kerohanian. Kami diwajibkan solat berjemaah setiap waktu, ditambah pula dengan sesi tazkirah yang dikendalikan oleh ustaz, dan yang paling menarik perhatian adalah aktiviti qiyamullail yang dijalankan. Bahkan ketua jurulatih pernah menyatakan betapa setiap kursus motivasi perlu ada qiyamullail.



Benar kata sejarah. Orang Islam hanya akan berjaya apabila dia mengambil agama dalam setiap kehidupannya. Berbeza dengan orang bukan Islam. Betapa orang bukan Islam mencapai kejayaan tatkala mereka memisahkan agama mereka dari bersangkut paut dengan aspek. Ini dibuktikan menerusi kebangkitan Eropah pada zamam Renaisance yang tercetus tatkala para saintis memisahkan diri daripada pihak gereja. Sebaliknya bagi umat Islam. Kejayaan bagi umat Islam hanya akan muncu tatkala mereka menggenggam utuh agama dan memasukkan agama dalam setiap aspek kehidupan.
Antara salah satu yang diajar oleh jurulatih adalah membetulkan azam. Beliau menyuruh kami mengubahsuai azam dan cita-cita kami. Beliau menyuruh kami menjadikan matlamat untuk menjadi seorang yang beriman terlebih dahulu, kemudia barulah berusaha menjadi seperti profesion idaman.
Contohnya, kalau seseorang itu bercita-cita hendak menjadi seorang doktor, maka azamnya ialah seperti :

"Saya berazam untuk menjadi seorang yang BERIMAN yang pekerjaannya adalah seorang doktor"

Di sini, kita meletakkan matlamat menjadi seorang yang beriman terlebih dahulu mengatasi matlamat-matlamat yang lain. 
Iman dan amal merupakan perbezaan kejayaan antara seorang muslim dengan non-muslim. Lihat sahaja kejayaan Bill Gates pencipta Microsoft. Beliau diktiraf antara individu terkaya dan berjaya oleh satu dunia. Tapi kejayaan itu tidak langsung membawa makna pada dia di hadapan Allah. Seseorang yang menyekutukan Allah, tidak kiralah betapa berjayanya dia di dunia, betapa tingginya darjatnya di kalangan manusia di dunia, namun di akhirat tempatnya tetap di neraka. Berbeza pula dengan seorang yang miskin dari segi harta dan wang ringgit, tapi di hatinya kaya dengan ketaqwaan dan keimanan kepada Allah, maka di sisi Allah dia dipandang mulia. 

Dari Imran bin Hussien dari nabi s.a.w., beliau telah bersabda; “Aku melihat ahli Syurga, sebahagian besar penghuninya adalah orang-orang miskin. Kemudian aku melihat neraka, kebanyakan penghuninya adalah perempuan.” 
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

 
 Hadith ini menerangkan betapa ramainya penduduk syurga yang dahulunya merupalakn golongan miskin di dunia. Dan kerana kemiskinan itu menyebabkan mereka selalu bersyukur dan kurangnya permusuhan. Berbeza pula dengan nikmat kekayaan. Ujian nikmat kejayaan lebih berat berbanding ujian kemiskinan kerana manusia itu mudak alpa apabila dikelilingi dengan nikmat kekayaan. Mereka mula lupa menginfakkan harta mereka, mula melalaikan amal ibadat dan terkadang terlampau mengejar kekayaan sehingga lupa mengejar kekayaan di akhirat.
Tetapi harus diingat, tidak semestinya kekayaan itu menjadikan pemiliknya lupakan Allah. Nama-nama seperti Abdul Rahman bin Auf menjadi bukti betapa kekayaan itu juga sebenarnya tidak menghalang seseorang daripada terus mematuhi perintah Allah. Ianya terjadi apabila kekayaan itu dicapai berasakan ketaqwaan dan keimanan kepada Allah.
Jadi, marilah kita sama-sama menjadi seorang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah, di samping berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan dari setiap aspek kehidupan.

Berbalik kepada kursus tersebut. Ada suatu saat di mana kursus hendak ditutup. Para peserta melakukan bulatan besar. Di dalam bulatan besar tersebut, semua jurulatih membuat bulatan kecil, berpusing dalam keadan menghadap para peserta. Maka di situlah saya tersedar betapa kuatnya ukhwah yang tercipta, ukhwah yang dibina bersulamkan nilai-nilai ketaatan kepada Allah. Bukan mudah untuk air mata seorang lelaki mengalir. Dan pada masa itu jugalah sedaya upayanya saya menghalang ia daripada terjatuh, dengan cara tidak memandang para jurulatih. Namun akhirnya lautan air itu tidak mampu dibendung lagi tatkala memeluk ustaz tercinta. 
Allah hu Rabbi. Begitu indahnya ukhwah yang telah Engkau kurniakan ini. Walaupun dibina dalam tempoh yang sebentar, tapi nikmatnya sukat hendak dilupakan. Semoga setiap daripada sahabat-sahabat dan para jurulatih yang terlibat akan terus "dijaga" plehNya tatkala dicampakkan di medan perjuangan selepas ini.

   
 “Tujuh golongan manusia dilindungi Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain daripada perlindungan-Nya. Mereka ialah:
1.  Pemerintah yang adil
2.  Pemuda yang hidup dalam ketaatan kepada Allah
3.  Lelaki yang sentiasa ingat kepada masjid untuk beribadah kepada Allah
4.  Dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, mereka berkumpul dan berpisah kerana cinta kepada Allah
5.  Lelaki yang menolak godaan seorang perempuan cantik dan berkedudukan tinggi dengan berkata: Aku takut kepada Allah
6.  Lelaki yang bersedekah dengan ikhlas dan tidak menghebahkan sedekahnya itu, hinggakan tangan kirinya tidak tahu apa yang telah disedekahkan oleh tangan kanannya
7.  Lelaki yang sentiasa menyebut nama Allah (berzikir) secara bersunyi-sunyian lalu mengalirlah air matanya.”
(Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dll)

Semoga kita semua tergolong dalam golongan keempat, iaitu bertemu dan berpisah kerana cinta kepada Allah. Amin, Ya Rabbal 'Alamin!!



“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berhimpun kerana mengasihani Mu, bertemu untuk mematuhi (perintah) Mu, bersatu memikul beban dakwah Mu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syari’at Mu.
Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya, kekalkan kemesraan antara hati-hati ini, tunjuklah kepada hati-hati ini akan jalanNya (yang sebenar), penuhkanlah (piala) hati-hati ini dengan cahaya Rabbani Mu yang tidak kunjung malap, lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan keimanan dan keindahan tawakkal kepada Mu, hidup suburkanlah hati-hati ini dengan ma’rifat (pengetahuan sebenar) tentang Mu. (Jika Engkau takdirkan kami mati) maka matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada’ dalam perjuangan agama Mu.
Sesungguhnya Engkau sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah permintaan ini. Ya Allah restuilah dan sejahterakanlah junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda semuanya.”
 

Yang benar,


No comments:

Post a Comment