Hadith

“Sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat pada manusia (termasuk meratakan kasih sayang). Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya (kasih sayang kepada orang lain).” (Riwayat At Tabrani)

Tuesday, May 11, 2010

Saya Bukan Seorang Penganggur....


'Kamu (wahai umat Muhammad ) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)'  [surah Ali Imran ayat 110]
Cuba sahabat-sahabat yang mulia bayangkan, tatkala sahabat-sahabat sudah beristeri/bersuami nanti dan mempunyai anak perempuan. Dan pada waktu itu terdapat pemuda-pemuda yang ingin menyunting anak perempuan sahabat-sahabat tersebut untuk dijadikan permaisuri hidup. Dan sahabat-sahabat tidak akan lari daripada menanyakan tentang pekerjaan bakal menantu tersebut. Alangkah gembiranya sahabat-sahabat sekiranya bakal menantu tersebut bekerja sebagai doktor, peguam, jurutera dan sebagainya. Tetapi cuba sahabat-sahabat bayangkan, sekiranya bakal menantu tersebut adalah seorang penganggur, apakah reaksi sahabat-sahabat? Silap haribulan, sudah tentu pinangan tersebut ditolak mentah-mentah. Hal ini kerana status penganggur yang dipandang rendah oleh masyarakat kita. Begitulah perumpamaan yang saya ingin lakukan. Setiap daripada kita yang beriman dengan kalimah “Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah dan Nabi Muhammad Pesuruh Allah” diberikan suatu tugas yang wajib disempurnakan. Tugas/pekerjaan ini tidak terbatas dengan latar belakang kita, taraf hidup kita, latar belakang pendidikan kita atau lain-lain faktor demografi. Sahabat-sahabat tidak memerlukan segulung diploma atau segulung ijazah untuk berdakwah. Sahabat-sahabat juga tidak perlu berserban atau pun bertudung labuh untuk menyatakan sesuatu yang benar menurut syariat. Jikalau sahabat-sahabat merupakan seorang yang gemar berpakaian mengikut trend semasa (stylo,rugged), sahabat-sahabat tidak perlu mengubah imej itu untuk berdakwah (selagi mana imej itu tidak bercanggah dengan syariat Islam). Jika ada seorang yang lelaki yang berambut panjang (tidak terlalu panjang sehingga menyamai perempuan), berseluar jeans dan berperwatakan ala-ala mat rock, datang kepada sahabat-sahabat dan menyatakan kesediaan untuk “berhijrah”, janganlah sahabat-sahabat menyuruh beliau mengubah penampilannya itu. Cukuplah sekadar menutup aurat dengan sempurna dan tidak bercanggah dengan batasan-batasan syariat. Jikalau beliau mahu mengubah ke penampilan berserban dan sebagainya, maka itu merupakan satu bonus. Tetapi harus diingat itu bukan kemestian. Tumpukan perhatian kepada perkara-perkara asas yang jauh lebih penting daripada perkara-perkara superficial seperti penampilan. Hal ini sama juga seperti isu pengekalan nama pada mualaf yang baru memeluk Islam. Kedapatan segolongan daripada kelompok masyarakat begitu responsif dalam hal pengekalan nama sedangkan perkara itu tidak disebut oleh Nabi Muhammad SAW sebagai suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan. Rasulullah SAW hanya menyuruh nama ditukar sekiranya nama asal mempunyai maksud-maksud yang tidak sepatutnya. Berbalik dalam isu berdakwah. Agak-agaknya macam mana la kita ni yang kebanyakan daripada golongan yang biasa-biasa (tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama secara rasmi seperti sijil,diploma atau ijazah) untuk menjalankan “tugas wajib” ini? Pada hemat saya, dakwah itu bukanlah semata-mata bangun ke hadapan memberikan tazkirah selepas solat atau pun pergi ke taman-taman rekreasi dan menegur orang yang berada dalam keadaan mencurigakan dengan pasangan bukan muhrim. Kita masih dikira berdakwah walaupun sekadar menggerakkan sahabat kita yang tidur untuk mengerjakan solat. Kita masih lagi dikira berdakwah walaupun sekadar “post” sesuatu peringatan di dinding profil facebook/friendster atau mana-mana laman web sosial. Allah tidak pernah melihat kepada “produk” yang kita hasilkan tetapi Allah hanya nak lihat sejauh mana kita berusaha untuk menghasilkan “produk” tersebut. Akhir kalam berdakwahlah kita dengan matlamat utama untuk mematuhi perintah Allah dalam Al-Quran, bukan semata-mata kerana hens]dak menarik orang kea rah kebaikan. Kenapa saya cakap begitu? Mudah sahaja. Sekiranya kita berdakwah kerana nak orang dekat dengan kebaikan, maka satu saat di mana kita mendapati bilangan yang dekat dengan kebaiakn adalah tidak memberangsangkan, maka dikhuatiri akan timbul perasaan putus asa dalam diri. Tetapi sekiranya kita menjadikan perintah Allah sebagai matlamat utama, maka Insya-Allah kita tidak akan lemah dan kecewa andai kata tidak ramai yang mengikuti seruan kita, Wallahu’alam.

p/s : kalo ada apa2 teguran, silakan berbuat demikian. Saya kan BUDAK BARU BELAJAR :-)

No comments:

Post a Comment